Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Jun. - Bagi meneruskan lagi Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan mengadakan Acara Walkaton dan Penanaman Pokok berlangsung di Riverfront Promenade, Jalan Residency, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid. Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Awang Muhammad Hafiy bin Noorsam diikuti dengan Taklimat Keselamatan.
Ia diteruskan dengan penanaman sebanyak 26 Pokok Ashoka (nama saintifik Polyalthia Longifolia) bagi mengindahkan lagi landskap sepanjang Jalan Residency. Acara berakhir dengan Aktiviti Walkaton sejauh 1.5 km di sepanjang Riverfront Promenade, Sungai Brunei.
Turut hadir semasa acara tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan) Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub dan Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.
Juga hadir, ketua-ketua jabatan, timbalan-timbalan dan penolong-penolong ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini, JASTRe juga menyusun beberapa program lain termasuk Hari Kitar Semula Senegara (Edisi Upcycling) yang akan diadakan pada 22 Jun 2025. Maklumat lanjut mengenai kempen dan acara ini boleh didapati di laman Instagram rasmi JASTRe '@jastre.bn'.